Wednesday, April 22, 2009

Rumah Mak Lang

Seingat aku, sejak aku dibenarkan oleh Ibu untuk bermalam di rumah saudara-mara kami, cuma ada sebuah rumah sahaja yang menjadi sasaranku - rumah sepupuku Ummi di Bulit Petaling. Setiap kali cuti sekolah ke situlah tujuanku. Kadang2 menjangkau hingga seminggu.

Apa istimewanya? Tentunya sepupuku Ummi (kami lahir di tahun yang sama, cuma dia lahir sebulan lebih dahulu - itupun, kami diajar oleh ibu bapa masing2 supaya me,manggilnya kakak). Kerana kami sebaya dan sekepala, seronoklah kami menghabiskan masa bersama. Mak Langku (sudah arwah sekarang - Al-Fatihah - Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) pula seorang yang kelakar. Namun begitu, banyak pelajaran tentang hidup yang kupelajari darinya dann kujadikan pedoman sehingga hari ini. Dia juga pandai memasak. Nasi gorengnya walaupun ringkas & sederhana boleh membuatkan aku makan 3,4 pinggan. Pak Langku (juga sudah arwah - Al-Fatihah - semoga dia juga dicucuri rahmat) pula rajin bercerita. Paling aku suka cerita2 hantu dan cerita 2 zaman Jepun. Dia akan bercerita dengan penuh semangat & ekspresi.

Bagiku hidup ketika itu begitu indah sekali. Sewaktu berada di rumah mereka itulah, aku berasa lega - bukan apa - ibuku begitu tegas hinggakan kadang2 terasa begitu menghimpit jiwa kanak2ku (Bayangkan, maunya aku membaca atau mengulangkaji sepanjang cuti sekolah. Hendak berkawan dengan anak2 jiran pun tak dibenarkan). Di sini dadaku terasa begitu lapang. Kiranya, disinilah tempat aku melepas perasaan dan mendapatkan manja dari seorang bergelar Ibu (bukan aku tidak menyayangi ibuku - aku sangat sayang padanya tapi sikapnya yang terlalu tegas itu menyebabkan aku tidak begitu manja dan rapat dengannya). Dengan Mak Lang, aku boleh bercerita apa saja termasuklah cerita merapu (Ibuku akan marah kalau aku merapu) dan setiap kali berbual mesti diiringi hilai ketawa.

Satu lagi perkara yang menyeronokkan ialah, rumah Mak Lang dekat dengan Dewan Bahasa & Pustaka ("DBP"). Setengah jam berjalan, kami berdua (aku & sepupuku) akan sampai. Tujuan kami tak lain kedai buku DBP di tingkat bawah bangunan tersebut.

Ketika itu, dalam sekitar tahun 80-an, banyak pilihan buku kanak2 dan novel remaja yang dikeluarkan oleh DBP. Yang paling aku suka ada sebuah buku bertajuk "Anak Rimba" karya Hamdan Raja Abdullah. Buku ini mengisahkan seorang budak bernama Ramli yang terpaksa pulang ke kampungnya di Jerantut, Pahang bersama ibu & adiknya yang kecil setelah ibu & ayahnya berpisah. Pengalamannya mengikut Pak Ngahnya menangkap ikan yang mabuk kerana banjir di hulu, mengambil rotan di hutan dan memungut tahi kelawar di Gua Kota Gelangi begitu menarik bagiku. Selain dari itu ada sebuah lagi buku bertajuk Merbuk karya Mokhtar Hj Jamaluddin mengenai seorang budak bernama Tamin yang menjaga seekor burung Merbuk yang patah kaki akibat digetah (jerat dgn menggunakan sejenis getah). Banyak juga buku yang kubeli dari DBP ketika itu - antaranya karya2 Othman Puteh, Ismail Sarbini (tajuk2nya aku sudah lupa), buku Cerita Asia Kini, siri Ceritalah Lagi Buku 1 - 6.

Mungkin cerita2 begini tidak lagi menarik untuk kanak2 sekarang. Namun, bagiku, selain dari gaya bahasanya yang bagus dan banyaknya pengetahuan yang aku dapat darinya, aku rasakan cerita2 begini begitu bagus sekali. Mungkin juga kerana nak mendapatkan buku2 itu begitu sukar bagiku. Bayangkan, sepanjang penggal persekolahan aku mengikat perut semata2 memikirkan buku2 yang akan dapat kubeli sewaktu bertandang ke rumah Mak Lang ketika cuti persekolahan yang akan datang nanti.

Hmmm... indah sungguh kenangan itu.

(Sumber imej : Kerusi taman dari www.yourdreamhouseplans.com; jacaranda dari upload.wikimedia.org; Orkid ungu dari www.mooseyscountrygarden.com)

4 comments:

  1. Salam D'Rimba,

    Memang indah. (:-D

    ReplyDelete
  2. Mia's Mom,

    Untungnya ada Mak Lang, walaupun sudah berpulang. Tetapi ingatan dan memori kekal di hati.

    Membaca ceita puan, saya teringkat Pak Uda saya juga telah pulang ke Rahmatullah, beberapa dekat lalu. Masih ada rindu di hati kita semua kan?

    ReplyDelete
  3. Salam Zedmagel,

    Ya, saya selalu terkenangkan Mak Lang saya. Malangnya, ketika dia dimasukkan ke hospital sebelum dia pergi buat selamanya, saya tidak dapat datang melawatnya untuk meminta ampun dan menghalalkan makan minum. Alangkah sedihnya hati saya bila berjumpa sepupu saya di kuburan, katanya "Arwah beritahu Kakak suruh beritahu Adik yang dia sayangkan Adik dan sudah maafkan segalanya."
    Bila teringat, selalu juga airmata ni menitis.

    ReplyDelete