Tuesday, January 14, 2014

Lamia














Jarak dari rumahnya ke perhentian bas tidak sampai pun 10 meter walaupun harus menuruni tangga yang anaknya cuma 35 mata dengan dua landasan berhenti. Blok rumahnya adalah blok yang paling hampir dengan jalan raya walaupun kedudukannya agak tinggi dari paras jalan raya. Namun disebabkan cuaca yang sangat dingin hingga mengganggu tulang hitam itu (asalnya tulang itu putih tetapi disebabkan oleh kesejukan yang menggigit, mindanya sudah berimaginasi yang tulang itu sudah sebegitu lebamnya hingga bertukar hitam!) membuatkannya berkira untuk keluar ke perhentian bas. Dari jendela ruang tamunya dia boleh melihat dengan jelas ke jalan raya dan perhentian bas. Tidak ada seorang umatpun di situ. Pandangannya lepas pula ke seberang jalan, ke deretan banglo-banglo kecil mungil yang tertata dengan rapi itu. Matanya melepasi deretan banglo dan mengarah terus ke Sungai Tay. Di situ matanya terhenti. Kilauan air sungai di kejauhan itu mengasyikkannya seketika. Terbayang di kepalanya sungai yang mengalir tanpa jemu terus ke Firth of Tay sebelum berbaur dengan North Sea. Tidak jarang para pemancing di Sungai itu mendapat habuan bawaan North Sea - cod, haddock, sole dan plaice, antaranya.

Lamunannya segera terhenti apabila ternampak kelibat bas Stagecoach berwarna biru yang menghala ke Arbroath. Serta-merta dia teringat yang dia perlu bersedia untuk ke kelas. Segera dia meninggalkan tingkap dan menyarung kot labuh hampir separas lutut. Kemudian dia menyarung kasut but yang melebihi paras betis. Dicapai pula beg sandang dan beg note booknya yang telah disediakan berhampiran pintu. Dia melihat jam. Dia harus keluar sekarang. Lagi 3 minit bas Stagecoach bernombor 73 akan sampai. Dia harus bergelut dengan dinginnya cuaca di luar.

Dengan hati-hati dia menuruni anak tangga sambil berpegang kepada pemegang tangga. Salji semalam yang telah beku sangat licin dan jika tidak berhati-hati dia akan jatuh terduduk di situ. Akhirnya dia sampai juga di perhentian bas. Cuma dia seorang pagi ini.

Kawasan dia tinggal itu tergolong kawasan yang aman. Kebanyakan penghuninya adalah mereka yang sudah bersara atau mereka yang berkeluarga. Tidak pernah ada parti bingit hingga larut malam yang mengganggu ketenteraman atau jeritan-jeritan kurang sopan menjadi halwa telinga. Jiran-jiran pula rajin bertegur sapa walaupun ada yang berperangai aneh. Misalnya penghuni rumah no. 153 di blok yang sama dengannya. Seorang wanita berumur yang agak jarang keluar rumah. Namun apabila berjumpa sangat ramah bertanya khabar. Tetapi yang peliknya walaupun tiap-tiap blok disediakan ampaian kain untuk kegunaan bersama - maksudnya tiap penghuni di blok yang sama boleh menggunakan mana-mana tali ampaian yang disediakan - tetapi wanita yang seorang ini cukup pantang apabila ada penghuni lain menggunakan satu dari tali ampaian tersebut seolah-olah yang satu itu miliknya seorang. Jika ada yang menggunakan ampaian tersebut, maka akan segera pula pakaian-pakaian itu dialihkan ke tali ampaian yang lain. Pernah juga sewaktu dia mula-mula tinggal di situ dia menyakat wanita itu. Sengaja dia mengampai pakaiannya di tali ampaian "keramat" tersebut. Bila dia pulang dari kelas, pakaiannya telah beralih ke tempat lain. Kali kedua dia berbuat begitu, jiran dari rumah no. 152 menegurnya sewaktu dia pulang dari kelas. Jirannya ini seorang wanita Arab yang mengikut suaminya seorang Doktor yang bekerja di Hospital Ashwell. Zahrah namanya. Suaminya pula bernama Usamah. Mereka mempunyai 2 orang anak kecil yang sangat comel dan lucu.

"Salam... " tegurnya. "Just came back, Sister?"

"Yes, Sister. How are you? Hannah and Hamid fine?"

"Yes, Sister. They are good. Thank you for asking." Balasnya tersenyum. "You hung your clothes there again, Sister..." tanyanya.

"I did. I wasn't very sure why actually, the first time I hung my clothes there..."

"I am not sure why too, Sister, but our neighbour doesn't seem to like it..."

"Is it hers?"

"No, Sister. But, we human...we can be quite peculiar at times!..But Sister, maybe you shouldn't do that anymore...She's quite elderly you know?"

"Ok Sister. Don't worry. I will hang my clothes at other lines next time...thank you Sister."


Perjalanan dengan bas dari rumahnya ke Universiti hanya mengambil masa 15 minit. Tetapi apabila jalanraya basah dan licin atau pun sedikit tebal setelah ditabur garam (grit) untuk mengelakkan jalan licin akibat salji, perjalanan agak perlahan kerana bas harus dipandu dengan berhati-hati.

Lamia memandang ke luar tingkap. Dia mengeluh kecil. Suasana begitu muram dan kaku. Pohon-pohonan beranting tanpa daun memutih diselubungi salji. Hari itu tidak hujan dan dinginnya mencengkam. Langit masih kelam. Awan-awan menghitam memberatkan langit yang kelihatan sarat mahu memuntahkan bebanannya - tanda salji akan turun lagi.

Setelah mengalami sendiri bagaimana sejuknya bumi Scotland ini, barulah Lamia memahami kenapa jumlah kes-kes kemurungan(depression) meningkat di musim dingin. Dinginnya begitu mencengkam hingga memberi kesan ke akal fikiran. Bagi yang tidak pernah mengalami mungkin akan mengatakan yang dia mereka-reka cerita namun itulah hakikatnya. Dingin yang mencabar akal fikiran. Teringat pula dia musim dingin yang lalu. Tahap kedinginan yang melampau di luar ramalan pihak berwajib tempatan hingga stok simpanan "grit" untuk ditaburkan di jalan-jalan raya tidak mencukupi. Dan disebabkan perkara itu, beberapa perkara lain pula timbul - sewaktu dia ke Tesco di South Road, tidak ada satu bungkus garam pun yang tinggal, bukan di situ sahaja malah di kedai-kedai lain pun tiada bekalan garam. Bertambah buruk apabila kedai-kedai keputusan barang-barang jualan disebabkan keadaan jalan raya yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan penghantar barang. Namun begitu ada juga kebaikan dari perkara tersebut yang menguji semangat kesetiakawanan dan kejiranan. Sewaktu kekurangan itulah terjadinya pinjam-meminjam bahan makanan. Dan terwujudlah satu bentuk keakraban yang saling mengandalkan.

"Kau jadi berjumpa Professor Williams petang nanti?" tiba-tiba dia terkejut dengan soalan dari rakannya Monicka, gadis yang berasal dari Nigeria itu. Entah bila Monicka sampai dia tidak pasti.

"Jadi. Kau nak ikut?"

"Boleh?"

"Tentu boleh. Bila kau bertanya, aku pun dapat ilmunya sama."

"Ok. Aku ikut. Kau..."Entah apa yang hendak dikatakan oleh Monicka dia tidak tahu kerana Professor Green sudah melangkah masuk.

Prof. Green sudah melampaui usia 70. Namun kegigihannya begitu utuh. Dia tidak pernah membatalkan kuliah dan akan tiba tepat pada waktunya. Kecintaannya pada ilmu Statistik dan kesungguhannya menurunkan ilmu pada usia begitu agak mengharukan. Bila melihat dedikasi yang ditunjukkan oleh Prof. Green itu, muncul pula rasa muak Lamia mengenangkan pekerja-pekerja yang suka curi tulang, yang suka mengambil cuti sakit dan yang suka "mencuri" hasil kerja orang lain dan mengaku itu hasil kerjanya. Patutlah ramai yang membuat kerja halal tapi hasilnya tak halal, gerutunya dalam hati.


Apabila dia keluar dari Universiti, hari sudah gelap. Padahal baru pukul 4 petang. Dia mempercepatkan langkahnya. Petang itu dia tidak boleh menunggu bas di hadapan bangunan fakultinya kerana ada beberapa barangan yang harus dibelinya. Dia melangkah laju-laju. Dia sudah semakin hampir ke kawasan pembinaan yang agak sunyi. Apabila masih cerah tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan apabila melalui kawasan itu. Tetapi apabila keadaan gelap seperti yang dihadapinya sekarang, terasa kawasan itu agak menyeramkan pula. Bertambah cepat langkahnya. Dari tempat dia berada dia sudah nampak deretan kedai. Tiba-tiba dia terdengar bunyi derapan tapak kaki di belakangnya. Dia menoleh ke belakang. Ada sesosok tubuh besar tinggi. Namun dia tidak melihat wajahnya. Langkahnya tambah laju. Derapan langkah di belakangnya pun bertambah laju juga. Lamia sedikit curiga. Tiada orang lain di jalan kecuali dia dan sosok tubuh di belakangnya itu. Dia menjadi gusar dan mengambil keputusan berlari. Dia bertambah panik bila langkah-langkah di belakangnya itu turut berlari.

Bersambung....


Image dari ppu.mrc.ac.uk



- Posted using BlogPress from my iPad