Tuesday, January 14, 2014

Lamia














Jarak dari rumahnya ke perhentian bas tidak sampai pun 10 meter walaupun harus menuruni tangga yang anaknya cuma 35 mata dengan dua landasan berhenti. Blok rumahnya adalah blok yang paling hampir dengan jalan raya walaupun kedudukannya agak tinggi dari paras jalan raya. Namun disebabkan cuaca yang sangat dingin hingga mengganggu tulang hitam itu (asalnya tulang itu putih tetapi disebabkan oleh kesejukan yang menggigit, mindanya sudah berimaginasi yang tulang itu sudah sebegitu lebamnya hingga bertukar hitam!) membuatkannya berkira untuk keluar ke perhentian bas. Dari jendela ruang tamunya dia boleh melihat dengan jelas ke jalan raya dan perhentian bas. Tidak ada seorang umatpun di situ. Pandangannya lepas pula ke seberang jalan, ke deretan banglo-banglo kecil mungil yang tertata dengan rapi itu. Matanya melepasi deretan banglo dan mengarah terus ke Sungai Tay. Di situ matanya terhenti. Kilauan air sungai di kejauhan itu mengasyikkannya seketika. Terbayang di kepalanya sungai yang mengalir tanpa jemu terus ke Firth of Tay sebelum berbaur dengan North Sea. Tidak jarang para pemancing di Sungai itu mendapat habuan bawaan North Sea - cod, haddock, sole dan plaice, antaranya.

Lamunannya segera terhenti apabila ternampak kelibat bas Stagecoach berwarna biru yang menghala ke Arbroath. Serta-merta dia teringat yang dia perlu bersedia untuk ke kelas. Segera dia meninggalkan tingkap dan menyarung kot labuh hampir separas lutut. Kemudian dia menyarung kasut but yang melebihi paras betis. Dicapai pula beg sandang dan beg note booknya yang telah disediakan berhampiran pintu. Dia melihat jam. Dia harus keluar sekarang. Lagi 3 minit bas Stagecoach bernombor 73 akan sampai. Dia harus bergelut dengan dinginnya cuaca di luar.

Dengan hati-hati dia menuruni anak tangga sambil berpegang kepada pemegang tangga. Salji semalam yang telah beku sangat licin dan jika tidak berhati-hati dia akan jatuh terduduk di situ. Akhirnya dia sampai juga di perhentian bas. Cuma dia seorang pagi ini.

Kawasan dia tinggal itu tergolong kawasan yang aman. Kebanyakan penghuninya adalah mereka yang sudah bersara atau mereka yang berkeluarga. Tidak pernah ada parti bingit hingga larut malam yang mengganggu ketenteraman atau jeritan-jeritan kurang sopan menjadi halwa telinga. Jiran-jiran pula rajin bertegur sapa walaupun ada yang berperangai aneh. Misalnya penghuni rumah no. 153 di blok yang sama dengannya. Seorang wanita berumur yang agak jarang keluar rumah. Namun apabila berjumpa sangat ramah bertanya khabar. Tetapi yang peliknya walaupun tiap-tiap blok disediakan ampaian kain untuk kegunaan bersama - maksudnya tiap penghuni di blok yang sama boleh menggunakan mana-mana tali ampaian yang disediakan - tetapi wanita yang seorang ini cukup pantang apabila ada penghuni lain menggunakan satu dari tali ampaian tersebut seolah-olah yang satu itu miliknya seorang. Jika ada yang menggunakan ampaian tersebut, maka akan segera pula pakaian-pakaian itu dialihkan ke tali ampaian yang lain. Pernah juga sewaktu dia mula-mula tinggal di situ dia menyakat wanita itu. Sengaja dia mengampai pakaiannya di tali ampaian "keramat" tersebut. Bila dia pulang dari kelas, pakaiannya telah beralih ke tempat lain. Kali kedua dia berbuat begitu, jiran dari rumah no. 152 menegurnya sewaktu dia pulang dari kelas. Jirannya ini seorang wanita Arab yang mengikut suaminya seorang Doktor yang bekerja di Hospital Ashwell. Zahrah namanya. Suaminya pula bernama Usamah. Mereka mempunyai 2 orang anak kecil yang sangat comel dan lucu.

"Salam... " tegurnya. "Just came back, Sister?"

"Yes, Sister. How are you? Hannah and Hamid fine?"

"Yes, Sister. They are good. Thank you for asking." Balasnya tersenyum. "You hung your clothes there again, Sister..." tanyanya.

"I did. I wasn't very sure why actually, the first time I hung my clothes there..."

"I am not sure why too, Sister, but our neighbour doesn't seem to like it..."

"Is it hers?"

"No, Sister. But, we human...we can be quite peculiar at times!..But Sister, maybe you shouldn't do that anymore...She's quite elderly you know?"

"Ok Sister. Don't worry. I will hang my clothes at other lines next time...thank you Sister."


Perjalanan dengan bas dari rumahnya ke Universiti hanya mengambil masa 15 minit. Tetapi apabila jalanraya basah dan licin atau pun sedikit tebal setelah ditabur garam (grit) untuk mengelakkan jalan licin akibat salji, perjalanan agak perlahan kerana bas harus dipandu dengan berhati-hati.

Lamia memandang ke luar tingkap. Dia mengeluh kecil. Suasana begitu muram dan kaku. Pohon-pohonan beranting tanpa daun memutih diselubungi salji. Hari itu tidak hujan dan dinginnya mencengkam. Langit masih kelam. Awan-awan menghitam memberatkan langit yang kelihatan sarat mahu memuntahkan bebanannya - tanda salji akan turun lagi.

Setelah mengalami sendiri bagaimana sejuknya bumi Scotland ini, barulah Lamia memahami kenapa jumlah kes-kes kemurungan(depression) meningkat di musim dingin. Dinginnya begitu mencengkam hingga memberi kesan ke akal fikiran. Bagi yang tidak pernah mengalami mungkin akan mengatakan yang dia mereka-reka cerita namun itulah hakikatnya. Dingin yang mencabar akal fikiran. Teringat pula dia musim dingin yang lalu. Tahap kedinginan yang melampau di luar ramalan pihak berwajib tempatan hingga stok simpanan "grit" untuk ditaburkan di jalan-jalan raya tidak mencukupi. Dan disebabkan perkara itu, beberapa perkara lain pula timbul - sewaktu dia ke Tesco di South Road, tidak ada satu bungkus garam pun yang tinggal, bukan di situ sahaja malah di kedai-kedai lain pun tiada bekalan garam. Bertambah buruk apabila kedai-kedai keputusan barang-barang jualan disebabkan keadaan jalan raya yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan penghantar barang. Namun begitu ada juga kebaikan dari perkara tersebut yang menguji semangat kesetiakawanan dan kejiranan. Sewaktu kekurangan itulah terjadinya pinjam-meminjam bahan makanan. Dan terwujudlah satu bentuk keakraban yang saling mengandalkan.

"Kau jadi berjumpa Professor Williams petang nanti?" tiba-tiba dia terkejut dengan soalan dari rakannya Monicka, gadis yang berasal dari Nigeria itu. Entah bila Monicka sampai dia tidak pasti.

"Jadi. Kau nak ikut?"

"Boleh?"

"Tentu boleh. Bila kau bertanya, aku pun dapat ilmunya sama."

"Ok. Aku ikut. Kau..."Entah apa yang hendak dikatakan oleh Monicka dia tidak tahu kerana Professor Green sudah melangkah masuk.

Prof. Green sudah melampaui usia 70. Namun kegigihannya begitu utuh. Dia tidak pernah membatalkan kuliah dan akan tiba tepat pada waktunya. Kecintaannya pada ilmu Statistik dan kesungguhannya menurunkan ilmu pada usia begitu agak mengharukan. Bila melihat dedikasi yang ditunjukkan oleh Prof. Green itu, muncul pula rasa muak Lamia mengenangkan pekerja-pekerja yang suka curi tulang, yang suka mengambil cuti sakit dan yang suka "mencuri" hasil kerja orang lain dan mengaku itu hasil kerjanya. Patutlah ramai yang membuat kerja halal tapi hasilnya tak halal, gerutunya dalam hati.


Apabila dia keluar dari Universiti, hari sudah gelap. Padahal baru pukul 4 petang. Dia mempercepatkan langkahnya. Petang itu dia tidak boleh menunggu bas di hadapan bangunan fakultinya kerana ada beberapa barangan yang harus dibelinya. Dia melangkah laju-laju. Dia sudah semakin hampir ke kawasan pembinaan yang agak sunyi. Apabila masih cerah tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan apabila melalui kawasan itu. Tetapi apabila keadaan gelap seperti yang dihadapinya sekarang, terasa kawasan itu agak menyeramkan pula. Bertambah cepat langkahnya. Dari tempat dia berada dia sudah nampak deretan kedai. Tiba-tiba dia terdengar bunyi derapan tapak kaki di belakangnya. Dia menoleh ke belakang. Ada sesosok tubuh besar tinggi. Namun dia tidak melihat wajahnya. Langkahnya tambah laju. Derapan langkah di belakangnya pun bertambah laju juga. Lamia sedikit curiga. Tiada orang lain di jalan kecuali dia dan sosok tubuh di belakangnya itu. Dia menjadi gusar dan mengambil keputusan berlari. Dia bertambah panik bila langkah-langkah di belakangnya itu turut berlari.

Bersambung....


Image dari ppu.mrc.ac.uk



- Posted using BlogPress from my iPad



Saturday, January 30, 2010

Apa ke degil sangat?

Hari-hari aku lalu di kawasan tu, dia mesti ada.  Pagi-pagi waktu hantar anak2 pergi sekolah, dia ada. Balik dari hantar anak sekolah, dia ada lagi. Bila pergi ambil Aqil balik dari nursery pun dia ada.  Aku sendiri nak pergi sekolah pun dia ada.  Geram juga aku dengan dia ni.  Mak dia tak panggil dia balik ke?  Kenapa aku tak ikut jalan lain? Macam mana? Dah itu jalan depan rumah aku. Aku kena juga ikut jalan tu.  Dulu masa tu adik-beradik dia yang lain pun ada. Mak dengan Abah dia pun ada - dan aku pun tak kisah sangat.  Aku pun tak keluar sangat masa tu.  Tapi sekarang ni, Mak dengan Abah dia dah pergi.  Adik-beradik dia yang lain pun dah pergi.  Apa sebabnya dia tinggal? Agaknya sebab degil sangat kut? Sebab tu kena tinggal.  DNA apalah yang dia ni ada ya? Sungguh mengkagumkan tahap kedegilannya.Kalau anak aku, dah lama aku nasihatkan.  Terfikir pula aku - agaknya species macam ni lah kut yang Dr. Ken Street (The Seed Hunter - In  Search of the Holy Grain) cari. Yang boleh survive dalam cuaca yang extreme macam mana pun. Entahlah....

Tapi, sorry ya. Nak tahu apa yang aku bebelkan pagi2 Sabtu ni? Ha... ni dia.
                                                  ..


                                                  ..





                                                  ..











                                                   ..









                                                  ..







Snow yang sejemput ni tak nak juga cair-cair. Aku pun tak faham kenapa.  Kadang2 rasa macam dia sengaja aje nak ingatkan aku yang sebenarnya musim sejuk tak habis lagi.


Minta maaf lah! Aku sedang stress - Belajar sebenarnya tak sesenang masa muda2 dulu! :-D Jadi, yang muda2 tu, belajarlah sekarang ya! Jangan tunggu-tunggu!

Tuesday, December 22, 2009

Salam.....




Hmm... dah lama rasanya tak berkunjung ke sini. Asalnya blog ini cuma untuk puisi-puisi sahaja tapi, rasanya teringin pula untuk bercerita di sini.

17hb Disember baru ni, tamatlah semester pertama pengajian aku di bumi Dundee ni. Semester kedua akan bermula pada 18hb January, 2010. Kawan-kawan sekuliah yang rapat kebanyakannya dah pergi meninggalkan Dundee. Andrea pulang ke Hungary untuk menyambut Krismas bersama keluarganya, Monica sejak minggu lepas pulang ke Edinburgh, Sanzida dah berlepas ke London untuk bersama suaminya (mereka sama-sama pelajar PhD tetapi suaminya di London dan dia di sini), Dilshad masih belum buat keputusan sama ada pulang ke Bangladesh atau tetap tinggal di sini (suaminya pelajar PhD, dia Master's dan sudah menamatkan Semester ke2), oh ya, cuma He He menyepi - kali terakhir kami berjumpa sewaktu keluar dari Dewan Peperiksaan pada 11hb Disember lalu. Tengahari nanti aku perlu telefon dia untuk menanyakan khabar.

Oh.... sejuknya!!! Malas betul nak bergerak! Tapi mata dah tak boleh tidur!Pagi tadi (dalam pukul 4.50 pagi) masa hantarkan Mi ke pintu untuk pergi bekerja, salji dah nampak tebal sangat di luar! Kalau ikut weather forecast, kalau tak salah, hari ni suhu terendah dalam -4 degrees Celcius. Hmmm... syukurlah Mia dah mula cuti. Kalau tak, kena fikir banyak kali juga nak hantar dia pergi sekolah. Sungguhpun sekolah cuma dalam 200 meter dari rumah.




Budak yang lupa nak sampaikan pesan Mrs Young

Semalam Danish yang hantarkan Mia ke sekolah. Disebabkan pagi ada aktiviti di gereja, pukul 10.30 baru Mia ke sekolah. Bila balik Danish dah menggigil kesejukan - kesian dia. Agaknya disebabkan kesejukan tu dia lupa nak beritahu yang Cikgu Mia (Mrs Young) pesan supaya ambil Mia pukul 12.00 tengahari (hari terakhir sekolah untuk penggal ni). Disebabkan dalam newsletter sekolah mengatakan yang pada 22hb Disember, sekolah ditutup pukul 12.45, bayangkan terkejutnya aku bila Pengetua Sekolah, Ms. Veal menelefon beritahu yang tinggal Mia saja yang belum diambil dari sekolah. Tak cukup tanah aku lari ke sekolah!(dalam salji sedang nak membeku dan sedang licin tu! Dua, tiga kali juga aku nak tersembam). Sampai di pagar Sekolah, aku nampak Mia dijaga dua orang cikgu. Aku dengar dia berteriak pada cikgu2 tu, "My Mum's here! Merry Christmas! See you next year!" Dan berlari mendapatkan aku. Aku cuma melambai pada mereka dan mengucapkan terimakasih - aku pun tak dah cukup oksigen bila sampai, dah tak mampu nak melangkah ke pintu - rasa macam nak terjela. Kaki dah rasa nak beku - sebab baru aku sedar, dalam nak cepat ambil Mia, aku lupa pakai sarung kaki.




        Pasal budak ni lah aku berlari sampai nyaris tak cukup oksigen


Sampai di rumah, Danish tak habis2 minta maaf, "Sorry Ibu, lupa nak cakap. Mrs Young memang suruh ambil pukul 12.00". Aku cuma mengangguk. Tak patut kalau aku nak marah pun - aku sendiri pelupa. Kesian pulak aku tengok dia. Aku pun terus peluk dia - tak apa, cuma jangan buat selalu, nanti Ibu mati beku. Dia senyum.

Hari ni, aku bercadang nak pergi beli duvet - nak gantikan yang dah macam roti kirai asyik dicabut oleh Aqil. Dengarnya kat Argos ada yang 13.5 tog dalam £4.99. Tapi, kenalah tengok dulu. Kalau sejuk, roti kirai pun guna lah dulu. Tak berbaloi keluar kalau balik kaki bengkak lagi!

Sumber gambar salji dari http://www.guardian.co.uk/

Sunday, May 10, 2009

Untuk Ibu

Keringat menitis satu satu
Terik mentari menggigit setiap inci kulitmu
Namun kau tetap di situ
Meneruskan usahamu
Agar dapat menghidupi anak-anakmu

Tanpa ragu-ragu
Kau membuang darjatmu
Tanganmu yang suatu ketika dulu lembut, halus & terjaga
Kini kering, keras dan tak bermaya
Hidupmu yang dulu manja dikelilingi kemewahan dan hilai tawa
Berganti kepayahan, keperitan dan titisan air mata
Namun demi harga diri
Kau tak pernah meminta-minta
Kau tempuhi segalanya dengan keringat dan belikatmu sendiri
Agar kami anak-anakmu dapat kau suapi
Dari rezeki halal yang walaupun jarang mencukupi
tapi dari titik peluh suci
dari kasih sayang murni

Pintamu agar
Kami rajin menimba ilmu
tabah menghadapi segala sesuatu
Jangan sesekali lupakanNya, pesanmu
Kerana katamu tanpa mengingatiNya
akan hilang harga diri
akan terbang nilai murni
akan terabai jiwa suci

Dan hari ini
Kau boleh berbangga dengan kami
kerana dari jerih-payahmu
kami bangkit berdiri penuh harga diri
Berkat kasihmu, berkat doamu

Terima kasih IBU!

"Ya Allah, Ya Rabbal 'Alamin, limpahilah semua para Ibu dengan belas kasihan dan kasih sayangMu, dan lindungilah mereka ya Allah di bawah naunganMu dan jika mereka leka, berilah peringatan agar mereka bertaubat padaMu dan ikatlah hati-hati mereka supaya tidak terurai dari mengingatiMu...Amin...Ya Rabbal 'Alamin."

(Source of image : Iceberg Rose from www.mooseyscountrygarden.com)

Saturday, April 25, 2009

Memori Silam



Sepi...
Tiada bintang di langit
Tiada bayu berkunjung
Insan-insan lain pun sudah tiada yang sudi bertandang
Bunyi unggas pun sudah tidak meriah kedengaran

Sepi...
Aku masih di situ
Menanti bintang menabur senyum
Menanti unggas bernyanyi lagu rimba
Insan lain? Hmmm... mereka takkan ke sini lagi
Cuma aku
Mengutip sisa kenangan lalu
Di sini pernah wujud wilayah yang gemilang
Ada unggas-unggas menggamatkan suasana
Ada pohon-pohon hijau yang merimbun menyejuk mata
ada deru air sungai jernih yang membawa khabar gembira
Ada ikan-ikan berenang bebas sesukanya
Rerama sering hinggap mengindah suasana

Namun waktu itu sudah berlalu
Tangan-tangan kejam sudah menjalankan tugasnya
Menodai alam atas nama pembangunan
Pembangunan?
Di situ cuma ada tiang-tiang berdiri tanpa harga diri
Ada longgokan-longgokan kaca pecah
Tanda pembangunan tak menjadi
Ada tinggalan bahan binaan yang menyakit hati
Ada bata-bata tinggal yang rosak dibakar mentari dan disirami hujan
Mencemar intisari
Mencemuh ilusi

Dan aku masih lagi di situ
Cuba menghidupi memori silam
Sewaktu hidup masih tenang
Sewaktu ozon masih cemerlang


(Sumber imej: (Gerhana dari www.iosastronomy.co.uk; projek terbengkalai dari www.journalofcommerce.com)

Wednesday, April 22, 2009

Rumah Mak Lang

Seingat aku, sejak aku dibenarkan oleh Ibu untuk bermalam di rumah saudara-mara kami, cuma ada sebuah rumah sahaja yang menjadi sasaranku - rumah sepupuku Ummi di Bulit Petaling. Setiap kali cuti sekolah ke situlah tujuanku. Kadang2 menjangkau hingga seminggu.

Apa istimewanya? Tentunya sepupuku Ummi (kami lahir di tahun yang sama, cuma dia lahir sebulan lebih dahulu - itupun, kami diajar oleh ibu bapa masing2 supaya me,manggilnya kakak). Kerana kami sebaya dan sekepala, seronoklah kami menghabiskan masa bersama. Mak Langku (sudah arwah sekarang - Al-Fatihah - Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) pula seorang yang kelakar. Namun begitu, banyak pelajaran tentang hidup yang kupelajari darinya dann kujadikan pedoman sehingga hari ini. Dia juga pandai memasak. Nasi gorengnya walaupun ringkas & sederhana boleh membuatkan aku makan 3,4 pinggan. Pak Langku (juga sudah arwah - Al-Fatihah - semoga dia juga dicucuri rahmat) pula rajin bercerita. Paling aku suka cerita2 hantu dan cerita 2 zaman Jepun. Dia akan bercerita dengan penuh semangat & ekspresi.

Bagiku hidup ketika itu begitu indah sekali. Sewaktu berada di rumah mereka itulah, aku berasa lega - bukan apa - ibuku begitu tegas hinggakan kadang2 terasa begitu menghimpit jiwa kanak2ku (Bayangkan, maunya aku membaca atau mengulangkaji sepanjang cuti sekolah. Hendak berkawan dengan anak2 jiran pun tak dibenarkan). Di sini dadaku terasa begitu lapang. Kiranya, disinilah tempat aku melepas perasaan dan mendapatkan manja dari seorang bergelar Ibu (bukan aku tidak menyayangi ibuku - aku sangat sayang padanya tapi sikapnya yang terlalu tegas itu menyebabkan aku tidak begitu manja dan rapat dengannya). Dengan Mak Lang, aku boleh bercerita apa saja termasuklah cerita merapu (Ibuku akan marah kalau aku merapu) dan setiap kali berbual mesti diiringi hilai ketawa.

Satu lagi perkara yang menyeronokkan ialah, rumah Mak Lang dekat dengan Dewan Bahasa & Pustaka ("DBP"). Setengah jam berjalan, kami berdua (aku & sepupuku) akan sampai. Tujuan kami tak lain kedai buku DBP di tingkat bawah bangunan tersebut.

Ketika itu, dalam sekitar tahun 80-an, banyak pilihan buku kanak2 dan novel remaja yang dikeluarkan oleh DBP. Yang paling aku suka ada sebuah buku bertajuk "Anak Rimba" karya Hamdan Raja Abdullah. Buku ini mengisahkan seorang budak bernama Ramli yang terpaksa pulang ke kampungnya di Jerantut, Pahang bersama ibu & adiknya yang kecil setelah ibu & ayahnya berpisah. Pengalamannya mengikut Pak Ngahnya menangkap ikan yang mabuk kerana banjir di hulu, mengambil rotan di hutan dan memungut tahi kelawar di Gua Kota Gelangi begitu menarik bagiku. Selain dari itu ada sebuah lagi buku bertajuk Merbuk karya Mokhtar Hj Jamaluddin mengenai seorang budak bernama Tamin yang menjaga seekor burung Merbuk yang patah kaki akibat digetah (jerat dgn menggunakan sejenis getah). Banyak juga buku yang kubeli dari DBP ketika itu - antaranya karya2 Othman Puteh, Ismail Sarbini (tajuk2nya aku sudah lupa), buku Cerita Asia Kini, siri Ceritalah Lagi Buku 1 - 6.

Mungkin cerita2 begini tidak lagi menarik untuk kanak2 sekarang. Namun, bagiku, selain dari gaya bahasanya yang bagus dan banyaknya pengetahuan yang aku dapat darinya, aku rasakan cerita2 begini begitu bagus sekali. Mungkin juga kerana nak mendapatkan buku2 itu begitu sukar bagiku. Bayangkan, sepanjang penggal persekolahan aku mengikat perut semata2 memikirkan buku2 yang akan dapat kubeli sewaktu bertandang ke rumah Mak Lang ketika cuti persekolahan yang akan datang nanti.

Hmmm... indah sungguh kenangan itu.

(Sumber imej : Kerusi taman dari www.yourdreamhouseplans.com; jacaranda dari upload.wikimedia.org; Orkid ungu dari www.mooseyscountrygarden.com)

Monday, April 20, 2009

Jejak Hidup?

Jejak-jejak kecil
menyelusuri pasir2 halus
terdengar riuh hilai
tawa ria menikmati suasana pantai

Namun jejak tak lama di situ
Hilang dibawa ombak berderai
begitukah hidup ini?
umpama jejak di pantai
ataukah umpama ombak?
yang mengaut segala ke dasar
mungkinkah umpama laut?
yang dalamnya penuh khazanah
atau juga umpama angin
yang boleh dinikmati sejenak
lalu hilang tanpa jejak...