Tuesday, December 22, 2009

Salam.....




Hmm... dah lama rasanya tak berkunjung ke sini. Asalnya blog ini cuma untuk puisi-puisi sahaja tapi, rasanya teringin pula untuk bercerita di sini.

17hb Disember baru ni, tamatlah semester pertama pengajian aku di bumi Dundee ni. Semester kedua akan bermula pada 18hb January, 2010. Kawan-kawan sekuliah yang rapat kebanyakannya dah pergi meninggalkan Dundee. Andrea pulang ke Hungary untuk menyambut Krismas bersama keluarganya, Monica sejak minggu lepas pulang ke Edinburgh, Sanzida dah berlepas ke London untuk bersama suaminya (mereka sama-sama pelajar PhD tetapi suaminya di London dan dia di sini), Dilshad masih belum buat keputusan sama ada pulang ke Bangladesh atau tetap tinggal di sini (suaminya pelajar PhD, dia Master's dan sudah menamatkan Semester ke2), oh ya, cuma He He menyepi - kali terakhir kami berjumpa sewaktu keluar dari Dewan Peperiksaan pada 11hb Disember lalu. Tengahari nanti aku perlu telefon dia untuk menanyakan khabar.

Oh.... sejuknya!!! Malas betul nak bergerak! Tapi mata dah tak boleh tidur!Pagi tadi (dalam pukul 4.50 pagi) masa hantarkan Mi ke pintu untuk pergi bekerja, salji dah nampak tebal sangat di luar! Kalau ikut weather forecast, kalau tak salah, hari ni suhu terendah dalam -4 degrees Celcius. Hmmm... syukurlah Mia dah mula cuti. Kalau tak, kena fikir banyak kali juga nak hantar dia pergi sekolah. Sungguhpun sekolah cuma dalam 200 meter dari rumah.




Budak yang lupa nak sampaikan pesan Mrs Young

Semalam Danish yang hantarkan Mia ke sekolah. Disebabkan pagi ada aktiviti di gereja, pukul 10.30 baru Mia ke sekolah. Bila balik Danish dah menggigil kesejukan - kesian dia. Agaknya disebabkan kesejukan tu dia lupa nak beritahu yang Cikgu Mia (Mrs Young) pesan supaya ambil Mia pukul 12.00 tengahari (hari terakhir sekolah untuk penggal ni). Disebabkan dalam newsletter sekolah mengatakan yang pada 22hb Disember, sekolah ditutup pukul 12.45, bayangkan terkejutnya aku bila Pengetua Sekolah, Ms. Veal menelefon beritahu yang tinggal Mia saja yang belum diambil dari sekolah. Tak cukup tanah aku lari ke sekolah!(dalam salji sedang nak membeku dan sedang licin tu! Dua, tiga kali juga aku nak tersembam). Sampai di pagar Sekolah, aku nampak Mia dijaga dua orang cikgu. Aku dengar dia berteriak pada cikgu2 tu, "My Mum's here! Merry Christmas! See you next year!" Dan berlari mendapatkan aku. Aku cuma melambai pada mereka dan mengucapkan terimakasih - aku pun tak dah cukup oksigen bila sampai, dah tak mampu nak melangkah ke pintu - rasa macam nak terjela. Kaki dah rasa nak beku - sebab baru aku sedar, dalam nak cepat ambil Mia, aku lupa pakai sarung kaki.




        Pasal budak ni lah aku berlari sampai nyaris tak cukup oksigen


Sampai di rumah, Danish tak habis2 minta maaf, "Sorry Ibu, lupa nak cakap. Mrs Young memang suruh ambil pukul 12.00". Aku cuma mengangguk. Tak patut kalau aku nak marah pun - aku sendiri pelupa. Kesian pulak aku tengok dia. Aku pun terus peluk dia - tak apa, cuma jangan buat selalu, nanti Ibu mati beku. Dia senyum.

Hari ni, aku bercadang nak pergi beli duvet - nak gantikan yang dah macam roti kirai asyik dicabut oleh Aqil. Dengarnya kat Argos ada yang 13.5 tog dalam £4.99. Tapi, kenalah tengok dulu. Kalau sejuk, roti kirai pun guna lah dulu. Tak berbaloi keluar kalau balik kaki bengkak lagi!

Sumber gambar salji dari http://www.guardian.co.uk/